Friday, 15 June 2012
PERBEZAAN ANTARA AHLI SUNNAH DAN SYIAH
Al-Quran Al-Karim
Ahli Sunnah : Sepakat atas kebenarannya dan terpelihara dari sebarang tambahan dan kekurangan. Mereka beriman dengan setiap huruf darinya, dan mereka beriman bahawa sesungguhnya ia adalah kalam Allah Taala bukan baru dan bukan makhluk. Ianya terpelihara dari segala keburukan dan adalah menjadi sumber utama kepada setiap kepercayaan-kepercayaan muslimin dan urusan-urusan hidup mereka.
Syiah : Mereka meragui kebenarannya iaitu Al-Quran, ada yang telah ditambah dan dikurangkan. (Sebahagian dari mereka menafikan tuduhan ini tetapi kita tidak mungkin mengambil kira ke atas penafian tersebut dengan sebab iktikad mereka yang mengamalkan taqiyah). Jika berlawanan dengan iktikad, mereka mentafsirkan dengan iktikad mereka. Pendapat imam-imam mereka adalah antara sumber utama di sisi mereka.
Al-Hadith
Ahli Sunnah : Hadith adalah sumber kedua kepada syariat Islam dan ia adalah sebagai mentafsirkan Al-Quran. Adalah tidak dibenarkan melanggar hukum-hukum yang terdapat dalam hadith yang sahih riwayatnya dari Rasulullah saw. Kesahihan hadith ditentukan melalui kaedah-kaedah yang disepakati oleh ulama’-ulama’ hadith. Caranya ialah dengan mengkaji kebenaran riwayat sanad tanpa membezakan antara perawi lelaki dan perempuan. Tiap-tiap perawi hadith diketahui sejarah hidupnya. Segala ini dihasilkan dengan satu usaha yang paling terbesar pernah didapati dalam sejarah bidang ilmu. Hadith yang diriwayatkan oleh seorang pendusta atau seorang yang tidak dikenalpasti tidak diterima. Ini semua adalah kerana riwayat hadith adalah suatu amanah yang berat lagi mulia serta mengatasi segala-gala yang lain.
Syiah : Tidak berpegang melainkan dengan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh kaum keluarga Rasulullah saw dan sebahagian hadith-hadith yang diriwayatkan oleh penyokong-penyokong Ali dalam medan politik – dan mereka menolak hadith-hadith selain daripada ini terutama sekali kebanyakan hadith-hadith riwayat ahli sunnah. Mereka tidak mementingkan riwayat (sanad) yang sahih – iaitu tanpa ilmu hadith yang kukuh. Banyak sekali didapati mereka misalnya berkata : “Diriwayatkan dari Muhammad bin Ismail dari beberapa sahabat kami dari seorang lelaki dari Rasulullah saw bersabda…” Kitab-kitab mereka penuh dengan berpuluh-puluh ribu hadith yang tidak mungkin ditetapkan kesahihannya. Beginilah cara mereka membina agama mereka. Dengan cara begini juga mereka telah mengingkari lebih dari tiga perempat daripada Sunnah Nabi. Dan ini adalah perbezaan-perbezaan yang terpenting antara mereka dari golongan-golongan muslim.
Para Sahabat Rasulullah SAW
Ahli Sunnah : Sepakat atas wajib menghormati dan meredhai atas kesemua mereka. Sesungguhnya kesemua mereka adalah benar dan lurus. Ahli Sunnah menganggap bahawa pertelingkahan yang terjadi antara mereka adalah berpunca dari perselisihan pendapat hasil dari ijtihad masing-masing yang dikeluarkan dengan ikhlas dan kejujuran, serta segala keadaan yang mempengaruhi mereka berbuat demikian telah pun berlalu. Tidak dibenarkan kita menaruh dendam sepanjang zaman mereka. Sesungguhnya merekalah golongan yang dipuji Allah berkali-kali. Oleh itu, tidak dibenarkan sesiapa pun mencela mereka selepas daripada itu. Sesungguhnya melalui usaha mereka kesemualah agama Islam itu turun-temurun dari Rasulullah hingga sampai kepada kita.
Syiah : Berpendapat bahawa para sahabat sesungguhnya telah kafir selepas kewafatan Rasulullah saw kecuali sebilangan kecil yang bilangannya tidak melebihi bilangan jari-jari tangan. Mereka meletakkan Ali di tempat yamg terlampau istimewa. Sebahagian mereka berpendapat : bahawa dialah yang telah diwasiatkan sebagai pengganti Rasulullah saw. Sebahagian lain pula menganggapnya sebagai nabi dan ada yang menganggapnya sebagai tuhan. Mereka menghukum orang-orang muslim menurut pendapat-pendapat mereka masing-masing ; sesiapa yang memilih khalifah-khalifah sebelum Ali, maka ia zalim, atau kafir atau fasiq ; dan begitulah halnya dengan sesiapa yang menentang anak cucu-cicitnya turun-temurun.
Akidah Tauhid
Ahli Sunnah : Beriman bahawa sesungguhnya Allah yang Maha Esa, yang Maha Berkuasa. Tiada sekutu bagiNya dan tiada tolok bandinganNya serta tiada perantaran antaraNya dan hamba-hambaNya. Mereka beriman dengan ayat-ayat yang mengandungi sifat-sifat Allah sebagaimana ianya diturunkan oleh Allah tanpa menyerupai sesuatu (tidak ada sesuatu pun yang menyerupaiNya). Sesungguhnya Allah telah mengutuskan nabi-nabiNya dan memikulkan mereka dengan tanggungjawab menyampaikan perutusan itu (risalah) kepada hamba-hambaNya. Mereka telah menyampaikan kesemuanya tanpa menyembunyikan apa jua pun. Mereka beriman bahawa perkara ghaib hanyalah pada Allah sahaja. Sesungguhnya segala doa, nazar, penyembelihan dan permohonan (sesuatu hajat) wajib ditujukan kepada Allah semata-mata dan tidak sama sekali kepada yang lain dariNya.
Syiah : Mereka beriman dengan Allah dan keesaanNya, tetapi mereka telah mencampuradukkannya dengan amalan-amalan syirik. Mereka beribadat kepada selain dari Allah dengan berkata : “Wahai Ali, wahai Hussein, wahai Zainab”, serta bernazar dan bersembelih kepada yang lain dari Allah. Mereka meminta hajat dari orang-orang yang telah mati. Mereka mencipta banyak doa-doa dan bacaan-bacaan yang menguatkan amalan syirik ini. Mereka percaya bahawa imam-imam mereka adalah maksum dan bahawa imam-imam itu mengetahui perkara-perkara ghaib serta mempunyai peranan dalam mentadbirkan alam ini. Mereka menganggap bahawa ada suatu kuasa khas yang dimiliki oleh wali-wali, imam-imam dan kaum kerabat Rasulullah saw. Segala kepercayaan-kepercayaan dan amalan-amalan ini tidak mempunyai asal dalam agama Islam yang suci.
Melihat Allah
Ahli Sunnah : Orang-orang yang beriman dapat melihat Allah pada hari Kiamat sepertimana firman Allah yang bermaksud : “Wajah-wajah yang pada hari itu berseri-seri melihat kepada Tuhan mereka.” ( al-Qiamah : 23).
Syiah : Berpendapat bahawa melihat Allah adalah tidak mungkin sama ada di dunia mahupun di akhirat.
Perkara Ghaib
Ahli Sunnah : Allah mengkhaskan pengetahuan perkara ghaib pada diriNya sahaja dan sesungguhnya Ia memberitahu kepada nabi-nabiNya termasuklah Nabi Muhammad saw akan beberapa perkara ghaib untuk sesuatu keperluan yang tertentu sepertimana firman Allah swt yang bermaksud : “Mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki.” (Ayat kursi).
Syiah : Mendakwa bahawa pengetahuan tentang perkara ghaib adalah hak imam-imam mereka sahaja (dan tidak dari hak Rasulullah saw memberi khabar tentang ghaib). Dengan sebab ini terdapat beberapa golongan dalam syiah yang menganggap bahawa imam-imam mereka adalah tuhan.
Kerabat Rasulullah SAW
Ahli Sunnah : Mengatakan bahawa ahli Rasulullah saw adalah pengikut-pengikutnya dalam agama Islam (ini adalah pendapat mereka yang lebih sahih). Ada yang mengatakan bahawa mereka adalah orang-orang yang paling bertaqwa di antara umatnya. Yang lain pula mengatakan mereka adalah sanak-saudaranya yang beriman dari Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib.
Syiah : Mengatakan bahawa ahli Rasulullah saw adalah menantunya Ali dan sebahagian dari anak-anak Ali sahaja, kemudian anak-anak serta cucu-cicit mereka-mereka sebelum ini.
Syariat Dan Hakikat
Ahli Sunnah : Berpendapat bahawa syariat adalah hakikat. Sesungguhnya Rasulullah saw tidak menyembunyikan apa jua ilmu yang diketahuinya dari umatnya, tidak ada sebarang kebaikan melainkan beliau telah membimbing kita kepadanya dan tidak ada sebarang kejahatan melainkan beliau telah memberi amaran kepada kita supaya menjauhinya. Sesungguhnya Allah Taala telah berfirman yang bermaksud : “Pada hari ini telah Ku sempurnakan bagi kamu agama kamu” (al-Maidah : 3). Juga sumber-sumber agama Islam adalah Al-Quran dan As-Sunnah yang tidak memerlukan kepada lain dari itu untuk menyempurnakannya. Cara-cara beramal, beribadat dan berhubungan dengan Allah adalah jelas dan terang tanpa sebarang perantaraan. Dan sesungguhnya Allah sahaja yang mengetahui hakikat hamba-hambaNya. Kita tidak menyanjungi sesiapa pun lebih dari sanjungan kita terhadap Allah. Setiap manusia harus diambil atau harus ditolak pendapat atau percakapannya kecuali Nabi kita saw yang maksum sahaja.
Syiah : Berpendapat bahawa syariat adalah hukum-hukum yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw dan hukum-hukum ini hanya melingkungi orang-orang awam dan orang-orang yang tiada berpengetahuan agama. Ada pun hakikat atau pun ilmu yang khas berkenaan Allah tidak diketahui kecuali imam-imam dari ahlul-bait (iaitu sebahagian dari kaum kerabat Nabi sahaja). Sesungguhnya mereka memperolehi ilmu-ilmu hakikat ini dengan cara warisan dari satu generasi ke generasi yang lain dan ia kekal sebagai rahsia di sisi mereka. Imam-imam mereka adalah maksum (terpelihara dari melakukan kesalahan) dan segala perbuatan mereka adalah syariat. Segala apa yang mereka lakukan adalah dibenarkan. Sesungguhnya perhubungan dengan Allah tidaklah sempurna melainkan dengan perantaraan iaitu melalui imam-imam mereka. Dengan itu mereka telah melibatkan diri kita dengan menamakan diri mereka dengan nama-nama yang keterlaluan seperti waliullah, babullah (pintu Allah), almaksum, hujjatullah (dalil Allah), ayatullah (tanda atau buku Allah). Ruhullah (ruh Allah) dan lain-lain lagi.
Feqah
Ahli Sunnah : Berpandukan dengan hukum-hukum yang terdapat dalam Al-Quran Al-Karim dengan penuh teliti. Ini dijelaskan pula dengan kata-kata dan perbuatan Rasululllah saw menurut yang terdapat dalam sunnahnya dan juga dengan kata-kata para sahabat dan tabi’en yang dipercayai. Di atas kata-kata ini terletaknya penjelasan dari hukum-hukum itu – kerana mereka hidup dalam zaman yang paling hampir dengan zaman Raulullah saw dan mereka adalah orng-orang yang membenarkan Rasulullah saw ketika menghadapi ujian-ujian yang berat. Tiada siapa pun yang berhak untuk mensyariatkan sesuatu hukum dalam agama ini setelah Allah swt menyempurnakannya. Tetapi untuk memahami secara lebih mendalam, dan hukum perkara-perkara yang baru timbul serta hikmat-hikmat hukum tersebut, wajib merujuk kepada para ulama’ Islam yang dipercayai untuk mendapatkan fatwa dengan bersandarkan semata-mata kepada Al-Quran dan As-Sunnah sahaja dan tidak kepada yang lain.
Syiah : Mereka berpegang kepada sumber-sumber mereka yang khas yang dikaitkan dengan imam- imam mereka yang dianggap sebagai mujaddid dalam agama (pada setiap generasi) dan kepada apa yang ditafsirkan oleh imam-imam tersebut dari ayat-ayat Al-Quran. Mereka berpendapat bahawa para-para imam yang mujtahid (dibolehkan membuat ijtihad) dan maksum mempunyai hak dalam memperbaharui hukum-hukum – seperti yang sebenarnya telah terjadi dalam perkara-perkara berikut :
1) dalam azan : waktu-waktu, rupa-bentuk dan cara sembahyang.
2) waktu-waktu berpuasa dan berbuka.
3) pekerjaan-pekerjaan haji ziarah.
4) dalamperwarisan harta .
5) dalam nikah dan hubungan suami isteri.
Mereka sangat cenderung dalam hukum-hukum yang berlawanan dengan ahli sunnah dan sentiasa berusaha meluaskan jurang perbezaan antara mereka dan ahli sunnah.
Kesetiaan (al-Wala’)
Ahli Sunnah : Kesetiaan atau al-wala’ adalah mengikut perintah dengan ketaatan yang tidak berbelah bagi. Kesetiaan begini tidaklah di berikan kecuali kepada Rasulullah saw kerana Allah Taala telah berfirman yang bermaksud : “Barang siapa yang mentaati Rasul, maka dia telah taat kepada Allah” (an-Nisa’: 74). Adapun orang-orang lain tidaklah berhak untuk diberikan kesetiaan kecuali menurut batasan-batasan yang telah ditentukan oleh hukum syara’. Ini adalah kerana manusia tidak boleh taat kepada makhluk jika perbuatan itu melibatkan maksiat terhadap Allah.
Syiah: Berpendapat bahawa kesetiaan yang tidak berbelah bagi adalah salah satu daripada rukun iman. Wajib bagi mereka beriman kepada imam-imam mereka yang dua belas (termasuk “penghuni Sirdab “ iaitu menurut kepercayaan mereka ; imam mereka yang kedua belas yang telah ghaib dan akan keluar sebagai imam Mahdi). Maka sesiapa yang tidak berimamkan kepada ahlul-bait adalah dianggap tidak beriman. Oleh itu, tidak boleh bersembahyang di belakang mereka sebagai imam dan mereka tidak berhak diberi zakat yang wajib dikeluarkan tetapi boleh diberikan sedekah-sedekah yang biasa dikeluarkan seperti kepada orang-orang kafir.
At-Taqiyah
Ahli Sunnah : “At-Taqiyah” ialah melakukan sesuatu yang berlawanan dengan kebenaran hati demi untuk menyelamatkan dirinya dari kebinasaan. Adalah tidak dibenarkan pada seseorang muslim memutar-belit saudara–saudara muslim yang lain dengan kata-kata ataupun perbuatan berpura-pura kerana Nabi saw telah bersabda dengan bermaksud: “Sesiapa yang menipu, maka dia bukan dari golongan kami”. Tidak dibenarkan bertaqiyah melainkan kepada orang-orang kafir yang bermusuhan dengan agama dan dalam peperangan sahaja – memandangkan bahawa peperangan adalah satu tipu helah. Wajib ke atas orang muslim berkata benar dan berani dalam menegakkan yang hak tanpa berbalah, berbohong dan membelot ; bahkan hendaklah menasihati dan mengajak kepada kebaikan dan melarang kemungkaran.
Syiah : Mereka kesemuanya berpendapat bahawa taqiyah itu adalah wajib dan mazhab mereka adalah didirikan dengan taqiyah. Mereka mencantumkan prinsip taqiyah itu secara rahsia dan terang-terangan dan mengamalkannya terutama sekali apabila mereka menghadapi kesukaran. Maka ketika tu mereka akan memuji-muji dan mengangkat–angkat dengan berlebihan orang-orang yang pada pandangan mereka adalah kafir dan berhak dibunuh serta dibinasakan. Mereka melaksanakan hukum-hukum yang dilaksana ke atas orang kafir kepada sesiapa sahaja yang bukan dari golongan mereka. Mereka mengamalkan prinsip “matlamat menghalalkan cara”. Dengan ciptaan ini mereka bebas menghalalkan segala cara tipu daya, pembohongan dan putar belit.
Pimpinan Dan Ketua Negara
Ahli Sunnah : Berpendapat bahawa sesebuah negara Islam itu diperintah oleh seorang khalifah yang dipilih antara orang-orang muslim. Disyaratkan agar khalifah itu mempunyai kebolehan yang mencukupi iaitu seperti seorang yang berakal, berada di atas jalan yang lurus, berilmu dan diketahui ramai akan kebolehan dan amanahnya serta kebolehan dalam memikul tanggungjawabnya. Ia dipilih hanya oleh dan dari orang-orang yang mempunyai kuasa memilih dalam masyarakat muslimin dan mereka melucutkan kekhalifahannya jika didapati ia tidak berlaku adil atau keluar dari hukum-hukum Al-Quran dan As-Sunnah. Semua muslimin wajib taat kepadanya dan kekuasaan memerintah pada sisinya mestilah dianggap sebagai satu tanggungjawab dan satu perkara yang akan dipersoal (oleh Allah dan kaum muslimin) dan bukanlah satu kemuliaan atau hasil keuntungan.
Syiah : Kuasa pemerintahan adalah warisan turun-temurun untuk Ali dan anak-anak Fatimah. Terdapat perselisihan pendapat yang banyak antara mereka berkenaan warisan ini. Dengan pendapat mereka yang sebegini cara, mereka sama sekali tidak melantik seorang pemerintah yang bukan dari keturunan Ali. Tetapi, apabila kehendak dan harapan mereka ini tidak dapat dipraktikkan atau dilaksanakan apabila keturunan Ali ini terputus dengan sebab kematian Muhammad al-Mahdi, imam mereka yang kedua belas yang wafat semasa kecil lagi (semasa berumur 8 bulan atau 2 atau 5 tahun ; mereka telah mencipta satu pendapat baru iaitu pendapat “ar-raj’ah” atau “kembali semula”). Maksud mereka ialah imam mereka yang terakhir dan digelar “al-Qaaem” yang mati semasa kanak-kanak ini akan datang kembali pada akhir zaman. Beliau akan keluar dari “Gua as-Sirdab” lalu menyembelih kesemua pihak lawan politiknya. Menurut mereka lagi, imam ini akan mengembalikan hak-hak golongan syiah yang telah dirampas dari mereka oleh golongan-golongan lain sepanjang kurun-kurun yang telah lalu.
(Al-Khututul Aridhah : Muhibbuddin al-Khatib)
Demikianlah secara ringkas perbezaan antara iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah. Sudut-sudut perbezaan ini amat penting untuk diketahui serta difahami dengan sebaik-baiknya dalam membuat penilaian atau hukuman terhadap syiah. Sebenarnya masih banyak lagi di sana perbezaan-perbezaan kecil dalam kepercayaan syiah yang tidak terdapat dalam kepercayaan ahli sunnah seumpama raj’ah, bida’ dan lain-lain lagi. Sudut-sudut perbezaan antara kedua belah pihak ini merupakan perkara terpenting yang perlu dihalusi bagi sesiapa yang melaungkan seruan ke arah pendekatan antara Sunni dan Syi’e agar tidak tersilap dalam mengatur langkah merealisasikan perpaduan ummah.
MUSLIMKAH SYIAH ?
Suatu persoalan barangkali telah terjawab secara umum dari fasal-fasal yang lepas tetapi perkara itu perlu kepada beberapa perincian yang lebih detail. Kita telah menjelaskan pada setiap fasal mengenai hak dan kewajipan syiah. Tinggal lagi menanya diri kita, ke tahap manakah Syiah boleh dipanggil dengan nama Islam?
Menjawab persoalan seumpama ini amat sulit sekali. Akan tetapi, kita akan cuba mencari jalan penyelesaian. Sekiranya benar, ianya adalah taufiq dari Allah dan jika sebaliknya, kita berharap ianya tidak terluput dari ganjaran ijtihad. Syiah itu ada dua bahagian : Syiah dalam sejarah dan syiah masakini. Syiah dalam sejarah, adalah kelompok-kelompok terdahulu yang telah kita sebutkan dalam fasal bahagian dan kelompok-kelompok syiah yang tidak syak lagi kebanyakannya adalah melampau dan kita tidak dapat menghukumkan dengan keislaman lebih dari kelompok-kelompok ini.
As-Sabaiah yang telah dibakar oleh Ali r.a kerana mereka menuhankannya dan membuang pemimpin mereka ke Sabat di Madain. Al-Bayaniah yang dikaitkan dengan Bayan bin Sa’an Tamimi dan mereka yang mengatakan kenabian Ali r.a yang kononnya telah membatalkan syariat Muhammad saw. Di antara mereka mendakwa ketuhanan dan kesatuan zat Allah dalam tubuh Ali. Al-Mughirah, Al-Harbiah dan Al-Mansuriah dari Janahiah dan Khitabiah : semua mereka terkeluar dari lingungan Islam. Begitu juga Al-Ghurabiah, Al-Mufawidhah. Az-Zimmiah, As-Syari’iah, An-Namiriah dan selain mereka adalah dari kelompok-kelompok Syiah. Kita tidak menghukum keislaman mereka sekalipun mereka dikaitkan dengan Islam. Kelompok-kelompok ini keseluruhannya telah pupus. Tidak wujud di muka bumi ini – sepanjang pengetahuan kita – orang yang menganut Islam secara terang-terangan mengucapkan ungkapan-ungkapan ini. Kelompok-kelompok ini semuanya dalam hukuman sejarah. Mereka ini telah menyebabkan perlakuan itu dan akan diperhitungkan oleh Allah swt dengan balasan yang setimpal. Mereka-mereka ini kita namakan dengan “syiah sejarah”.
Manakala syiah masakini, mereka adalah saki-baki dari kelompok-kelompok yang kita sebutkan, yang masih kekal sehingga hari ini. Ia merupakan kelompok besar, yang terkenal iaitu Zaidiah dan Imamiah. Kebanyakan ahli-ahli sejarah menganggap mereka ini dari kalangan orang Islam terutamanya Zaidiah. Mereka lebih hampir kepada kepercayaan-kepercayaan Ahli Sunnah serta feqh mereka. Perselisihan di antara Zaidiah dan Ahli Sunnah hanya dalam masalah-masalah kecil. Demikian juga Imamiah Ithna ‘Asyariah dan Ismailiah, usul-usul mereka adalah satu sekalipun berbeza furu’-furu’ dari satu kelompok dengan yang lain.
Tetapi hukum am ini tidak semestinya bermakna setiap individu adalah Islam, bahkan mereka adalah Islam secara umumnya kecuali sesiapa yang telah sabit mengucapkan seumpama ucapan-ucapan pelampau yang menuhankan Ali atau menyfatkan imam-imam mereka dengan sifat Allah atau mengatakan penyelewengan Al-Quran atau pembatalan syariat atau hulul dan lain-lain lagi. Orang seumpama ini dihukumkan kafir dan terkeluar dari lingkungan Islam tanpa mengira siapa yang mengucapkannya. Kita tidak mencipta hukum ini dari fikiran kita, malah inilah yang diperkatakan oleh kebanyakan ahli-ahli sejarah ketika mereka membahagikan antara golongan pelampau dan selain mereka. Seandainya hukum itu disatukan untuk semua kelompok, tentulah pembahagian ini tidak diperlukan. Imam Abdul Qahir bin Tahir Bahgdadi di dalam Al-Farq Bainal Firaq berkata : (ms 21) “…Semua kelompok-kelompok pelampau itu terkeluar dari kelompok Islam, manakal kelompok Zaidiah dan Imamiah masih dikira dalam kelompok umat Islam.”
Pun begitu, kebanyakan pendapat-pendapat ulama’ Syiah adalah sesuatu yang tidak mungkin seorang muslim sunni berakal menerimanya. Puncanya kerana ulama’-ulama’ mereka tidak warak dalam mencipta hadith-hadith yang menyokong pendapat-pendapat mereka atau menjelekkan peristiwa-peristiwa sejarah Islam serta menukar situasi-situasinya mengikut selera nafsu mereka.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment